KUALA LUMPUR – Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh di negara ini dijangka bermula Selasa dan berterusan sehingga Mac depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata mengikut ramalan pihaknya MTL kali akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.
“Misalnya fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Sementara pada Januari dan Februari, episod hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Menjelaskan lanjut, katanya, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut serta risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta berisiko mengakibatkan kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.
Katanya, menjelang pada fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.
“Keadaan ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlakunya gelombang haba.
“Bagaimanapun, keadaan diramalkan tidak seteruk seperti tahun ini disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan METMalaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.