Advertisement

Penduduk Kampung Gotong-Royong Secara Sukarela Baiki Jalan Kampung, Tapi Pihak Tidak Bertanggungjawab Cuba Politikkan Usaha Penduduk

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Pulau Penampang telah melaksanakan satu inisiatif dengan mengutip dana bagi tujuan membaiki jalan rosak di kampung tersebut bagi tujuan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Bagaimanapun, usaha itu telah disalah tafsir dan cuba dipolitikkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan menyebarkan surat pungutan tersebut ke media sosial.

Wakil penduduk, Spanis Gadua, 62 tahun berkata, inisiatif mengutip dana itu telah dipersetujui oleh pihak pengurusan kampung melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung.

Spanis turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada penduduk kampung berkenaan.

“Berkaitan dengan surat daripada JKKK yang tular di media sosial berhubung pungutan dana sebanyak RM100 daripada setiap keluarga untuk pembaikan jalan raya.

“Sebenarnya, ini tidak melibatkan penduduk kampung keseluruhannya, ia hanya melibatkan lebih kurang 25 buah rumah saja. Ini adalah inisiatif kita sendiri, secara sukarela untuk menaik taraf jalan raya hanya di Jalan KK Philippus Saradan dengan sejauh 70 meter sahaja,” katanya ketika ditemui media di sini, Khamis lalu.

Spanis berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu akan telah pun dilakukan dengan kerjasama dari penduduk kampung yang secara sukarela menyumbang tenaga dan dana pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Pulau Penampang, Yuspensus Philippus, 42, berkata, pihaknya tidak menafikan surat berkenaan ditularkan oleh penduduk yang tidak mahu memberikan sumbangan berkenaan.

“Tetapi tidak apa, ini bukan kita paksa, kita buat secara sukarela, yang penting turun bersama-sama untuk simen jalan raya berkenaan.

“Sebelum ini, kerajaan juga telah bantu menaik taraf jalan dalam kampung ini, membuat tembok selepas kejadian tanah runtuh dan banyak lagi.

“Kita berbuat demikian kerana mahu cepat, dan demi keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung juga,” katanya.