Advertisement

Museum Festival Wadah Tonjol Keunikan Budaya, Warisan Negeri – Christina





Mary
Mary meletakkan tangan pada kubus elektronik sebagai simbolik perasmian Museum Festival 2024 sambil disaksikan Abdullah (kiri), Rubin (dua dari kiri), Bartholomew (tiga dari kiri) dan Arif (kanan) – ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran Museum Festival antara wadah penting kerajaan dalam mengangkat dan menonjolkan keunikan budaya dan warisan negeri kepada pelawat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata penganjuran festival itu selari dengan dasar kerajaan negeri (Enakmen Warisan Negeri 2017) dalam memelihara dan memulihara warisan budaya sekaligus mengangkat identiti negeri melalui sektor pelancongan.

“Seperti mana kita sedia maklum, festival ini merupakan inisiatif Jabatan Muzium Negeri Sabah dalam usaha menonjolkan keunikan negeri ini melalui aktiviti-aktiviti kebudayaan tempatan.

“Pada masa yang sama, festival ini turut membuka ruang dan potensi sebagai produk pelancongan negeri yang mampu menarik minat pelawat domestik dan antarabangsa untuk sama-sama meraikan kebudayaan kita.

“Hal ini juga dilihat mampu memberi impak positif ke atas ekonomi masyarakat tempatan dalam menjana pendapatan mereka,” katanya ketika merasmikan Museum Festival 2024 yang diadakan di Kampung Warisan Fasa II, Kompleks Muzium, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I KePKAS, Mary Isidore Malangking.

“Saya difahamkan bahawa pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program ini termasuk persembahan band etnik, tarian etnik, pameran, demonstrasi, dan gerai jualan.

“Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memeriahkan festival, tetapi turut bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai budaya Sabah yang kaya seklaigus mengekalkan warisan budaya kepada generasi akan datang,” jelasnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Muzium Negeri Sabah atas usaha gigih dalam menjayakan festival tersebut, yang bukan sahaja mempromosikan budaya tempatan tetapi juga menyokong dasar kerajaan negeri dalam memelihara warisan negeri.

Hadir sama, Presiden Persatuan Murut Sabah Datuk Rubin Balang, Yang Dipertua Majlis Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah Datuk Abdullah Sibil, Pengerusi Persatuan Ngajat Asli Iban Sarawak Bartholomew Sirow Chong serta Pengarah Jabatan Muzium Negeri Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Museum Festival 2024 Arif Abdul Hamid. — JABATAN PENERANGAN SABAH