SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas diserang sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Supt. Mohd Sabri Zainol berkata pihaknya telah melihat video tular kejadian yang menunjukkan mangsa dalam keadaan bogel, berlumuran darah dengan kesan gigitan.
Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna juga menerima laporan dan membuka siasatan berhubung kes kematian mengejut itu.
“Dalam kejadian itu, kanak-kanak lelaki tempatan berusia dua tahun tujuh bulan maut berikutan serangan anjing liar itu.
“Bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Tawau,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Mohd Sabri menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video mangsa bagi menjaga sensitiviti keluarganya.