KOTA KINABALU, SABAH – Sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin yang ke-71 esok, Majlis Khatam Al-Quran berlangsung sederhana di Istana Seri Kinabalu, semalam.
Disertai 200 jemaah, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara agihan itu diketuai Pegawai Agama Istana, Imran Anggun yang bermula dari juzuk pertama hingga ke Surah Al-Lail di Juzuk Ke-30.
Sejurus ketibaan Tun Juhar, majlis khatam Al-Quran disempurnakan sepenuhnya bermula dengan Surah Ad-Dhuha.
Majlis disusuli dengan tazkirah oleh Dekan Fakulti Pengajian Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Ustaz Sarip Adul, sebelum diakhiri dengan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Antara yang hadir, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani, Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Wilayah Sabah dan Sarawak Tabung Haji (TH) Datuk Nurlaila Said.
Menurut Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS, Ag Juri Ag Tahir, susun atur kedudukan para jemaah di dalam Dewan Istiadat membawa simbolik yang tersirat.
“Tujuh tempat duduk di pentas utama termasuk kedudukan kerusi Tun Juhar di tengah melambangkan Tuan Yang Terutama Tun sebagai peneraju utama kepimpinan ummah di negeri ini.
“Manakala, kedudukan berbentuk V dengan masing-masing 32 jemaah lelaki di sebelah kiri dan kanan pada lapisan pertama, jika ditambah dengan nombor tujuh, menghasilkan jumlah 71 sinonim dengan usia Tun Juhar.
“Kemudian, kedudukan 19 jemaah lelaki masing-masing di kiri dan kanan lapisan kedua pula jika dihimpunkan menjadi 38 melambangkan tempoh penglibatan Tun Juhar dalam arena kepimpinan sejak tahun 1986.
“Paling menarik, angka 1 dan 9 jika dicampurkan menzahirkan angka 10 yang menandakan Tun Juhar sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah ke-10 sejak 1 Januari 2011,” katanya.
Selain daripada 39 jemaah wanita di sebelah kanan dan 40 lagi di sebelah kiri, barisan utama wanita mempunyai lima tempat duduk di tengah termasuk kedudukan isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni.
“Lima bermakna lima tonggak utama penyeri keluarga bahagia di Istana Seri Kinabalu iaitu Toh Puan Norlidah bersama dua putera dan dua srikandi permata ummah,” jelas beliau.
Tun Juhar yang dilahirkan pada 5 November 1953 di Kampung Tambisan, Lahad Datu merupakan anak sulung daripada empat beradik dan satu-satunya TYT yang paling lama memegang jawatan berkenaan. — JABATAN PENERANGAN SABAH