Advertisement

Hampir 70 Peratus Mangsa Terbunuh Di Gaza Ialah Wanita, Kanak-Kanak – OHCHR – Sabah News

Gaza
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menyatakan hampir 70 peratus kematian yang disahkan dalam peperangan di Gaza ialah daripada wanita dan kanak-kanak ( Sumber Foto: AFP )

GENEVA – Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) menyatakan hampir 70 peratus kematian yang disahkan dalam peperangan di Gaza ialah daripada wanita dan kanak-kanak.

Memetik sumber Reuters, Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mengecam apa yang disebut sebagai pelanggaran sistematik terhadap prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sejak bermulanya perang antara tentera Israel dan pejuang Hamas, PBB hanya mengira kematian yang dapat mereka sahkan melalui tiga sumber, dan pengiraan masih berterusan.

Jumlah mangsa yang disahkan sebanyak 8,119 adalah jauh lebih rendah daripada angka lebih 43,000 kematian yang diberikan oleh pihak berkuasa kesihatan Palestin bagi perang yang berlarutan selama 13 bulan.

Namun, pecahan umur dan jantina mangsa yang disahkan oleh PBB menyokong dakwaan Palestin bahawa wanita dan kanak-kanak mewakili sebahagian besar daripada mereka yang terbunuh dalam peperangan itu.

Penemuan itu menunjukkan ‘pelanggaran sistematik terhadap prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk perbezaan dan kesepadanan’, kata pejabat hak asasi manusia PBB dalam satu kenyataan yang disertakan dengan laporan setebal 32 muka surat.

“Adalah penting untuk memastikan bahawa tuduhan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa diadili melalui badan kehakiman yang boleh dipercayai dan tidak berat sebelah.

Pada masa sama, semua maklumat dan bukti yang berkaitan perlu dikumpul dan disimpan,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk.

Misi diplomatik Israel ke PBB di Geneva menyatakan ia secara tegas menolak laporan tersebut.

“Seperti biasa, OHCHR gagal mencerminkan keadaan sebenar di lapangan dan tidak mengambil kira peranan besar Hamas dan pertubuhan lain keranan sengaja menyebabkan kemudaratan kepada orang awam di Gaza,” katanya.

Israel mendakwa bahawa Hamas sengaja bersembunyi dalam kalangan orang awam dan menggunakan mereka sebagai perisai manusia, oleh itu pejuang hamas bertanggungjawab atas kematian mereka.

Israel melaporkan bahawa kira-kira seorang awam terbunuh bagi setiap pejuang, nisbah yang dipersalahkan terhadap Hamas, yang menafikan penggunaan orang awam dan infrastruktur awam, termasuk hospital, sebagai perisai manusia.

Ketua Pejabat Hak Asasi Manusia PBB untuk Wilayah Palestin yang Diduduki, Ajith Sunghay, memberitahu wartawan dalam satu taklimat di Geneva bahawa mangsa yang dilaporkan disahkan melalui tiga sumber.

“Ini termasuk jiran, ahli keluarga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, rekod hospital atau kakitangan PBB di lapangan.

“Angka ini, sudah tentu, sangat besar berbanding tahun-tahun sebelumnya, kami memerlukan masa untuk mengejar dan mengesahkannya,” katanya sambil menambah bahawa beliau berpendapat angka akhir PBB mungkin hampir sama dengan kiraan pihak berkuasa Palestin.

Mangsa termuda yang kematiannya telah disahkan oleh pemantau PBB ialah seorang bayi lelaki berusia sehari, dan yang tertua ialah seorang wanita berusia 97 tahun, menurut laporan tersebut.

Secara keseluruhan, mereka yang berusia 18 tahun ke bawah mewakili 44 peratus daripada mangsa, dengan kanak-kanak berusia 5-9 tahun menjadi kategori umur terbesar, diikuti oleh mereka yang berusia 10-14 tahun, dan kemudian yang berusia sehingga empat tahun.

Ia mencerminkan demografi wilayah tersebut secara umum, yang menurut laporan itu adalah bukti kegagalan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kematian dalam kalangan orang awam.

Laporan itu mendapati bahawa dalam 88 peratus kes, lima atau lebih orang terbunuh dalam serangan yang sama, menunjukkan penggunaan senjata berat oleh tentera Israel dengan kesan di kawasan yang luas.

Laporan itu turut menyatakan, beberapa kematian mungkin berpunca daripada peluru sesat tembakan kumpulan bersenjata Palestin.