KUALA LUMPUR – Ina Naim, 40, iaitu balu kepada penyanyi nasyid Allahyarham Suhaimi Saad, selamat diijabkabulkan dengan pasangan, Mohd Khairul Rizal, 41, di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, semalam.
Memetik sumber Berita Harian, dengan sekali lafaz, Ina atau nama sebenar, Nor Diana Mohd Naim sah bergelar isteri kepada Mohd Khairul.
Ina dilapor menerima mas kahwin bernilai RM100 dan wang hantaran sebanyak RM7,000, pada majlis pernikahan itu.
Majlis pernikahan Ina dan Mohd Khairul yang juga bekas tenaga pengajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) yang berlangsung di kediaman keluarga Ina, turut disiarkan secara langsung di akaun TikTok sama.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan rumah tangga pasangan itu bertahan hingga ke jannah.
Ina atau nama sebenarnya, berkahwin dengan Allahyarham Suhaimi atau Mohd Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007.
Allahyarham Suhaimi meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, Ina dan arwah suami dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Khairul berstatus duda dan memiliki dua anak.