KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan kekal sebagai Kerajaan Negeri selepas pilihan raya negeri kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata keyakinan itu bukan sahaja daripada semangat berkobar-kobar semua ahli tetapi juga sentimen rakyat Sabah yang mahukan kepimpinan parti tempatan.
“Ada rakan kepimpinan tertinggi dari parti kerajaan persekutuan bertanya saya peluang kemenangan dan saya memberitahu mereka bahawa GRS masih akan memegang tampuk pemerintahan,” katanya.
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada penutupan Mesyuarat Agung Tahunan parti yang berlangsung selama dua hari di SICC pada Ahad.
Beliau mengingatkan lebih 300,000 ahli Gagasan Rakyat di 6,000 cawangan supaya teguh menjelang hari mengundi yang semakin hampir.
“Jadi jangan sia-siakan peluang ini walaupun kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Saya ingin nyatakan di sini bahawa kita amat selesa bekerjasama dengan Pakatan Harapan Sabah.
“Tetapi pada masa yang sama, kita tidak menutup pintu kepada peluang yang memanfaatkan Sabah, cuma jangan ajar bagaimana menentukan masa depan kami sendiri.
“Adalah maruah politik kita sebagai kerajaan hari ini untuk menentukan nasib rakyat tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata jentera pilihan raya Gagasan akan diaktifkan di semua DUN manakala membayangkan calonnya akan datang daripada semua sayap parti.
“Jadi jangan berlaku tidak adil antara satu sama lain, rakyat mahupun parti komponen GRS, kerana mereka akan membantu kita menang dan begitu juga untuk kita. GRS mesti menang dengan kerusi terbanyak.
“Kekalkan momentum ini dan jangan takut apabila tiba masanya kerana ini negeri kita. Kita adalah pejuang dalam memastikan GRS dan PH ditambah kemenangan,” katanya.