PAPAR, SABAH – Selain mendapat bantuan kaki palsu, seorang warga Kampung Kaiduan turut menerima kenaikan bantuan bulanan daripada RM215 menjadi RM450 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau yang bernama Rosnah Pius, 33, dilaporkan mengalami kelainan upaya (OKU) pada bahagian kaki sejak lahir yang menyukarkan pergerakan hariannya.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Yayasan Kebajikan Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor juga telah meluluskan bantuan one off berjumlah RM2,000 serta tongkat yang baharu untuk Rosnah.
“Saya bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim usahakan untuk Rosnah melalui JKM bagi memudahkannya bergerak melakukan kerja-kerja seharian.
“Pada masa sama, pihak JKM turut meningkatkan bantuan bulanan kepada beliau daripada RM215 menjadi RM450 kerana kita dapati dia juga ada membuat kerja-kerja kraftangan yang boleh menjana pendapatan,” katanya ketika mengadakan tinjauan projek Kampung Angkat Madani di Kampung Kaiduan, pada Ahad.
Kisah Rosnah yang memerlukan sumbangan untuk membiayai kos kaki palsu baharu tular baru-baru ini selepas kaki palsu yang lama tidak lagi sesuai untuk dipakai.
Hadir sama,Pegawai Daerah Papar, Mohamad Ali serta wakil JKM dan Yayasan Kebajikan Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH