Advertisement

Belanjawan2025: Bantuan Khas RM300 Sebulan Selama Setahun Kepada Golongan Miskin, Miskin Tegar – Sabah News

KOTA KINABALU: Golongan terkesan yang dikenal pasti dalam kategori miskin dan miskin tegar akan mendapat perhatian kerajaan negeri dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bantuan itu akan melibatkan peruntukan berjumlah RM358.5 juta. 

“Bantuan ini juga diharap dapat mengurangkan beban kewangan dalam tempoh tertentu sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar lain dalam menambah pendapatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Jelas Masidi lagi, seperti yang diketahui umum, pelarasan gaji kakitangan awam dan penetapan gaji minimum bagi sektor swasta akan mengakibatkan harga barangan meningkat secara mendadak.

“Keadaan ini akan memberi kesan khususnya kepada mereka yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, penjaja dan yang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap.

“Dengan mengambil kita jumlah pendapatan yang diterima masih berada di tahap yang sama, kenaikan harga barangan ini secara langsung akan membebankan kehidupan mereka sekeluarga.

“Oleh itu, bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi, buat julung kalinya pada tahun hadapan, Kerajaan Sabah akan menyantuni golongan yang terkesan dalam kategori miskin dan miskin tegar yang dikenal pasti melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama setahun,” jelasnya.