KOTA KINABALU, SABAH – Industri kreatif Sabah terkenal dengan kekayaan budaya dan bakat kreatif yang luar biasa. Namun begitu, ianya masih belum mencapai potensi sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata walaupun Sabah mempunyai mempunyai sumber daya manusia yang berbakat, industri tersebut masih kekurangan dasar dan ekosistem sokongan yang tersusun.
Beliau berkata Sabah memerlukan satu badan sebagai payung yang khusus, untuk menguruskan dan menyokong pembangunan industri kreatif, seperti yang dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sabah untuk sektor pelancongan.
“Rakyat Sabah, khususnya golongan muda yang berbakat dalam seni persembahan, media kreatif, dan warisan budaya, memerlukan platform yang lebih baik untuk mempamerkan bakat mereka.
“Kekurangan peluang untuk mempamerkan bakat ini menyebabkan berlaku aliran keluar bakat ke Semenanjung Malaysia dan negara- negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahas Ucapan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Amisah turut menyarankan kerajaan negeri memperkenalkan program pendidikan, latihan kursus dalam bidang kreatif, menyediakan dana, insentif kepada usahawan kreatif, serta memastikan perlindungan hak harta intelek untuk produk kreatif.
“Saya ingin menyeru agar kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi-agensi di bawah kementerian ini, memberi perhatian serius terhadap pembangunan industri kreatif di Sabah,” ujar Amisah.