Advertisement

SABAH LULUSKAN TIGA SYARIKAT TEMPATAN LAKSANA KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN TEKNOLOGI OTEC – Sabah News

Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersalam dengan Timbalan Ketua Menteri lll / Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya
semasa menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri telah memberikan kelulusan kepada tiga buah syarikat tempatan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembangunan teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kajian yang melibatkan pemain industri itu berkata ketiga-tiga syarikat terbabit diberikan tempoh setahun bagi memuktamadkan kajian terbabit.

“Hasil kajian kebolehlaksanaan ini akan
diusulkan semula kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Lanjutan daripada kelulusan Majlis Tenaga Sabah, Energy Commission of Sabah (ECoS) pula telah mengeluarkan Conditional Letter of Award (CLOA) kepada tiga buah syarikat tempatan tersebut bagi tujuan pembangunan tenaga lestari.

“Pihak Energy Commission of Sabah (ECoS) juga telah menerima minat daripada syarikat asing dari Australia dan United Kingdom untuk membangunkan OTEC di Sabah. Pihak ECoS sedang mengkaji cadangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee ketika sidang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata kajian kebolehlaksanaan awal uga sedang
dijalankan oleh pihak UTM OTEC melalui kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Katanya, ia bertujuan bagi pembangunan projek perintis loji OTEC di Sabah dengan pembiayaan dari Shell MRE (Marine Renewable Program) yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

“OTEC merupakan unsur tenaga boleh diperbaharui yang memanfaatkan perbezaan suhu di antara air laut dalam dan permukaan air laut untuk penjanaan tenaga elektrik.

“Berdasarkan dapatan jururunding, Sabah boleh menghasilkan 20,000 megawatt, iaitu 15,000 megawatt di kawasan Pantai Barat dan 5,000 megawatt di kawasan Pantai Timur Sabah,” katanya.

Hajiji dalam pada itu juga menjelaskan pihaknya menerusi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah menggariskan empat
komponen utama penerokaan ekonomi biru.

Antara empat komponen terbabit adalah penuaian sumber hidupan laut, pengekstrakan sumber tidak hidup serta penjanaan sumber baharu, perdagangan dan perniagaan di dalam dan sekitar laut, serta respon terhadap cabaran kesihatan laut.

“Ini adalah selaras dengan garis panduan
yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Daripada empat komponen tersebut, terdapat sekurang-kurangnya 14
industri yang berpotensi untuk dibangunkan dan diterokai di Sabah,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah 2024 (SIBEC2024) pada 19 Oktober lepas.

Persidangan terbabit menjadi platform penting dalam memperkenalkan OTEC kepada pelbagai pemain industri dalam dan luar negara.