Advertisement

DP World Rancang Perluas Kapasiti Pelabuhan Teluk Sapangar Untuk Dijadikan Hab Perdagangan Berdaya Saing

Datuk Ir Shahelmey Yahya, Menteri Kerja Raya

KOTA KINABALU: DP World merancang untuk memperluas kapasiti Pelabuhan Teluk Sapangar agar mampu menampung lebih banyak kargo dan meningkatkan kecekapan logistik seterusnya akan memperkukuh kedudukan Negeri Sabah sebagai
pusat perkapalan yang berdaya saing di rantau ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, strategi tersebut juga adalah bagi merialisasikan aspirasi
Kerajaan Negeri Sabah untuk memposisikan Pelabuhan Teluk
Sapangar sebagai hab perdagangan di rantau ini.

“Ini dijangka akan memberikan impak positif yang signifikan terhadap ekonomi Negeri Sabah dalam jangka masa panjang” katanya dalam sidang DUN Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Dilantik, Datuk Jaffari Waliam yang bertanya, apakah halatuju DP World selepas mengambil alih operasi pelabuhan daripada Sabah Ports Sdn Bhd di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, strategi seterusnya ialah, kolaborasi dengan operator antarabangsa di mana DP World akan memperkenalkan amalan terbaik dan teknologi terkini yang akan mempercepatkan proses pemindahan kargo dan meminimumkan masa operasi.

“Kolaborasi ini juga bertujuan memperluas rangkaian laluan maritim yang strategik. Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan maritim bagi para pengguna, sekaligus menjadikan Sabah lebih kompetitif sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.

“Selain itu, pembangunan zon bebas di Pelabuhan akan membuka
peluang besar untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, menggalakkan pertumbuhan aktiviti hiliran, dan meningkatkan pengeluaran kargo.

“Peningkatan dalam aktiviti ekonomi ini akan menyumbang kepada hasil negeri melalui cukai korporat, yang akan dikutip oleh Kerajaan Negeri Sabah,” jelasnya.

Secara keseluruhan, ADUN Tanjung Keramat (BN) itu berkata, strategi ini bukan sahaja akan mengukuhkan ekonomi Sabah dengan memacu pertumbuhan perdagangan dan pelaburan, tetapi juga memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab maritim utama di rantau ini.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan dari ADUN Sulabayan (Warisan), Datuk Dr Jaujan Sambakong yang bertanya adakah kerajaan dapat mengawal kenaikan cukai Shahelmey berkata, pihaknya sudah pasti mempunyai polisi-polisi untuk memastikan bahawa apa juga yang akan dikenakan, impaknya akan menyebelahi pihak kerajaan.

“Berkenaan dengan penambahan peluang-peluang pekerjaan, sudah pasti ada pertambahan peluang pekerjaan bukan sahaja secara langsung tetapi juga ‘spilled-over effect’ daripada aktiviti ekonomi,” jelas Shahelmey.