KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan terus memantau suasana kerja di hospital-hospital dan fasiliti kesihatan di negeri ini bagi mengenal pasti seterusnya menangani dan membanteras isu berkaitan tekanan kerja dan insiden buli di kalangan petugas kesihatan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, inisiatif untuk memperbaiki pengurusan tekanan kerja dan menyokong kesejahteraan mental kakitangan juga akan turut diperkasakan.
“KPMKR melalui JKNS telah menjalankan siasatan dalaman pada 3 September lalu berkenaan insiden tular melibatkan kematian doktor perubatan yang berlaku di Hospital Lahad Datu beberapa bulan lalu dan laporan insiden telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pihak KKM telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas Bebas pada 10 Oktober 2024 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Borhan Dollah, mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi menyiasat insiden ini dan pasukan ini diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan hasil siasatan,” jelasnya pada sidang DUN Sabah di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Sekong (Warisan), Alias Sani yang bertanya apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri terhadap kes tersebut sehingga menyebabkan kematian.