KOTA KINABALU: Seorang penduduk yang prihatin menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mengguna pendekatan yang lebih inklusif berhubung aplikasi tempat letak kereta pintar yang baru dilancarkan melihat kesukaran yang dihadapi warga emas untuk menyesuaikan diri dengan platform digital.
Seorang bekas pegawai polis, Lee Ah Kiew, mengetengahkan isu ini susulan insiden membabitkan isterinya Rabu lalu.
Dia menerima kompaun tempat letak kereta di Lintas Square walaupun mempamerkan kupon letak kereta fizikal yang sah di papan pemukanya.
Kupon itu, yang dengan jelas menunjukkan tarikh luput pada 2027 dianggap tidak sah di bawah sistem baharu.
“Pada masa itu, dia bergantung pada kupon letak kereta fizikal kerana dia tidak memuat turub aplikasi letak kereta pintar pada telefon bimbitnya,” jelas Lee.
Didesak masa, isterinya segera meninggalkan kawasan itu untuk menghadiri temu janji di Lido dan berhasrat menyelesaikan kompaun itu kemudian di pondok parkir DBKK di sana.
Bagaimanapun, dia dimaklumkan oleh kakitangan DBKK bahawa dia perlu kembali ke Lintas Square untuk menangani perkara itu, yang hanya boleh diselesaikan melalui aplikasi parkir pintar.
Lee mempersoalkan kewajaran menghukum pemandu yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem baharu atau yang bergantung pada kupon fizikal, terutamanya apabila ia diterima sebelum ini.
“Pada pemahaman saya, kupon letak kereta yang dipamerkan isteri saya sepatutnya masih sah di seluruh bandar.
“Sebagai warganegara yang mematuhi undang-undang dan bekas pegawai penguatkuasa undang-undang, saya mengalu-alukan kemajuan teknologi dan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Walau bagaimanapun, perubahan ini mesti dilaksanakan dengan empati, keadilan dan keterangkuman.
“Golongan yang mudah terjejas seperti warga emas tidak seharusnya diendahkan semata-mata kerana mereka menghadapi cabaran dengan teknologi,” katanya.
Beliau juga membangkitkan kebimbangan mengenai langkah kontingensi bagi pemandu yang menghadapi halangan teknikal atau sistemik.
“Apakah yang berlaku jika aplikasi tempat letak kereta pintar tidak boleh diakses semasa bekalan elektrik terputus atau jika talian telefon si pemandu terputus atau dihalang daripada perkhidmatan? Apakah alternatif yang tersedia dalam situasi sedemikian?” tanya Lee.
Beliau menyeru DBKK untuk menangani kebimbangan praktikal ini dan memastikan penyelesaian alternatif disediakan untuk menampung mereka yang tidak dapat mengakses aplikasi itu, sama ada disebabkan faktor usia, isu teknikal atau keadaan lain yang tidak dijangka.
“Saya menggesa DBKK untuk mengutamakan keterangkuman dan keadilan dalam dasar-dasarnya. Kemajuan dalam teknologi seharusnya meningkatkan perkhidmatan, bukan mengasingkan atau menghukum segmen masyarakat,” tegas Lee.
Insiden itu menekankan keperluan untuk DBKK mempertimbangkan keperluan pengguna yang pelbagai dan memastikan peralihan kepada platform digital tidak mengorbankan penyampaian perkhidmatan yang saksama untuk semua penduduk.