Advertisement

Petugas SFC Bersama Jabatan Muzium Sarawak Sahkan Penemuan Bangkai Ikan Paus Di Jambatan Triso

SRI AMAN: Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengesahkan penemuan bangkai ikan paus yang terdampar berhampiran Jambatan Triso di sini, pada Jumaat.

SFC dalam satu kenyataan semalam berkata, pencarian telah dimulakan selepas satu video tular berhubung penemuan itu telah menarik perhatian umum.

Katanya, SFC bersama Jabatan Muzium Sarawak telah pun memulakan kerja-kerja pengambilan tulang ikan paus yang terdampar itu. 

“Penilaian awal mendapati bangkai mamalia itu berada dalam keadaan penguraian dan berada di ambang perpecahan.

“Pada masa ini ia tersangkut pada jeriji dan hanya boleh diambil semasa air pasang,” katanya.

Bangkai paus yang ditemui itu dipercayai daripada jenis Paus Baleen (Baleen Whale) dewasa.

Mamalia ini berukuran kira-kira 10 meter panjang, dengan ukur lilit sekitar 2.8 meter dan kira-kira 50 alur tekak.

Pasukan Veterinar dan Forensik SFC dengan kerjasama Jabatan Muzium telah mengumpul kesemua rangka tulang mamalia tersebut pada Sabtu untuk analisis lanjut.