Advertisement

12 Rumah Ihsan Membakut Dijangka Siap Februari Depan – Sabah News

Arifin
Arifin (dua dari kiri) diiringi Ibrahim (dua dari kanan) menandatangani plak Teratak Musafir Membakut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Pembinaan 12 unit Rumah Ihsan Membakut (RIM) dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata pembinaan rumah baharu di atas tapak asal itu melibatkan kos RM30,000 bagi setiap rumah menggunakan peruntukan ADUN.

“Daripada 12 rumah terbakar di Kampung Binsuluk, di Kampung Madang kemudian di Kampung Baitam, di Kampung Takapan, kita akan sediakan sebuah rumah masing-masing yang kita namakan sebuah Rumah Ihsan Membakut.

“Ini di bawah peruntukan DUN dan awal tahun kita akan mulakan, sekarang pun sudah mula sebahagiannya. Tahun depan lebih kurang bulan Februari, siaplah.

“Bagi yang terbakar tapi mereka sudah membuat sebahagian daripada rumahnya, kita akan bantu lagi agar apa yang mereka buat itu dapat disempurnakan.

“Tadi, saya sudah melawat tiga buah rumah yang sedang mereka buat sendiri dan insyaAllah kita akan tambah baik, kita akan bantu mereka dengan bahan-bahan yang keperluan mereka,” jelas beliau.

Menurut Arifin, RIM dilaksanakan sejak empat tahun lalu di kawasan Membakut dengan beberapa rumah telah dibina bagi mangsa kebakaran dan golongan daif.

“Kita telah melaksanakan RIM ini sudah lebih kurang empat tahun dengan beberapa buah rumah yang terbakar sudah kita bina, misalnya di Pimping ada tiga buah, ada beberapa tempat lagi. Bukan sahaja yang terbakar, ada yang daif kita akan bantu,” katanya selepas merasmikan Program Outreach Perpaduan Sosial Sabah Maju Jaya (SMJ) di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut ujar Arifin, setakat ini pihaknya telah membina 20 buah Rumah SMJ dan 40 buah lagi bakal dilaksanakan pada tahun depan sekali gus menambah jumlah rumah bagi warga Membakut.

“Sekarang sudah ada Rumah SMJ, bertambahlah bilangan rumah walaupun rumah RIM ini agak kecil berbanding dengan Rumah SMJ.

“Selepas ia dibina, maka tuan rumah atau keluarga berkenaan boleh menambahbaik atau memperluaskan lagi.

“Tahun ini, semua Rumah SMJ telah kita laksanakan di DUN Membakut ini, 20 buah rumah dan tahun hadapan ada 40 buah rumah lagi yang telah diumumkan oleh YAB Ketua Menteri.

“Kita sudah ada senarainya melalui focus group di bawah pengerusi atau kendalian Pejabat Daerah dan Pegawai Daerah Membakut,” jelas beliau kepada media.

Dalam pada itu, Arifin diiringi Pegawai Daerah, Ibrahim Terki turut meninjau Teratak Musafir yang terletak bersebelahan dengan Dewan Kesenian Islam dan dikendalikan oleh Pejabat Daerah Membakut.

“Rumah musafir ini dah siap dan boleh dimanfaatkan oleh semua. Apa-apa keperluan boleh merujuk kepada pejabat daerah termasuk program-program yang kita adakan.

“Kita boleh mengadakan program di sini termasuk untuk penceramah dan mereka yang terlibat dalam kerja di daerah membakut ini, sekurang-kurangnya ada manfaatnya,” tambah beliau. — JABATAN PENERANGAN SABAH