MADEIRA – AirAsia terus menetapkan penanda aras bagi syarikat penerbangan tambang rendah di peringkat global selepas meraih dua anugerah berprestij di World Travel Awards (WTA) Grand Final 2024: Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun ke-12 berturut-turut dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk tahun kelapan secara berterusan.
AirAsia dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori-kategori ini mengatasi 15 syarikat penerbangan lain selepas memperoleh undian tertinggi daripada pemain industri, pengembara, dah ahli profesional dari seluruh dunia.
Anugerah-anugerah ini melengkapkan kejayaan AirAsia yang telah dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia di anugerah World Travel Awards Asia dan Oceania yang diadakan di Manila pada bulan September lalu.
Kejayaan-kejayaan ini diraih pada waktu yang tepat dalam pada AirAsia terus berkembang berikutan permintaan perjalanan yang kukuh di pasaran utamanya.
Syarikat penerbangan ini telah memperkembang dan memperkukuh rangkaiannya secara strategik di seluruh rantau ini dengan menghubungkan lebih banyak lapangan terbang di bandar-bandar kedua untuk memacu pertumbuhan berterusan di Asia-Pasifik menjelang tahun 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata pihaknya berbesar hati untuk meraih anugerah berprestij ini secara berterusan kerana ia membuktikan kekuatan prestasi operasi dan visi strategik mereka.
“Melalui pengembangan rangkaian, kami telah menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai megahub penerbangan tambang rendah global, mengatasi lapangan terbang global lain.
“Kami juga mensasarkan kejayaan ini di seluruh hab lain bagi memastikan mereka terus berkembang menjadi hab utama. Ini sejajar dengan segmen antarabangsa yang terus menjadi pemacu pertumbuhan sektor perjalanan di mana trafik penumpang melebihi peningkatan kapasiti.
“Dalam kami melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, kami berharap dapat meningkatkan jumlah pesawat dan kecekapan operasi, menawarkan pengalaman perjalanan lancar, dan akses kepada lebih banyak destinasi dengan tambang kompetitif kepada jutaan tetamu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada World Travel Awards dan jutaan pengundi yang mengiktiraf usaha kami, dan akan menjadikan pencapaian ini sebagai penanda aras untuk menjadi lebih baik.” katanya.