KOTA KINABALU: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau digalak untuk melaksanakan pelbagai program bukan sahaja politik tetapi program yang berbentuk ilmiah.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, program berbentuk ilmiah ini boleh membantu peserta dapat menjana ekonomi masing-masing.
“Kita galakkan Beliawanis di sini untuk melaksanakan program berbentuk ilmiah yang secara tidak langsung boleh membantu sedikit sebanyak kepada para peserta dalam menjana ekonomi mereka.
“Kita juga minta Beliawanis untuk teruskan berkempen bagi penambahan ahli kerana ini sangat penting, kita tengok babawa komuniti pemuda adalah majoriti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian penutupan Bengkel Gubahan Tuala anjuran Beliawanis Darau di Dewan Inanam Laut pada Ahad.
Tambah Razali, kempen penambahan ahli akan terus digerakkan di semua peringkat mengikut sayap parti yang ada termasuk Wanita dan juga Pemuda.
“Kerana kita faham bahawa golongan-golongan muda ini, kesedaran mereka untuk berpolitik masih kurang.
“Jadi, kita mengajak mereka untuk sama-sama merasai apa realiti politik sebenarnya dan kita sangat yakin bahawa platform yang sesuai adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah yang baru ini.
Beliau sekali lagi menekankan bahawa kesedaran berpolitik kepada anak muda sangat penting dan kesedaran itu juga perlu diterjemah
“Maksudnya, pintu kita sentiasa terbuka dan mereka adalah pelapis. Kalau untuk menentukan hala tuju politik ini, marilah bersama-sama berpolitik dan bukan hanya berpolitik di media sosial,” tegasnya.