TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menghina agama Islam melalui satu hantaran di media sosial ‘Facebook’ yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 70 tahun yang juga pemilik akaun media sosial itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau kira-kira jam 12.15 tengah malam Khamis lalu, di sekitar bandar Tawau.
Katanya, satu laporan Polis dibuat seorang lelaki berusia 25 tahun yang mendakwa telah melihat satu kenyataan yang dimuat naik oleh individu melalui platform media sosial ‘Facebook’ yang dianggap menyinggung sensitiviti umat Islam, Selasa lalu.
“Lelaki tempatan berusia 70 tahun ini ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai hantaran tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti niat di sebalik kenyataan yang dimuat naik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat lalu.
Menurutnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Tambah Jasmin, PDRM Tawau akan mengambil tindakan serius terhadap sebarang bentuk penghinaan terhadap agama dan etnik di negara ini, yang boleh mencetuskan ketegangan serta mencabar keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama khususnya di daerah ini.