Advertisement

Legenda Muzik Ahmad Nawab Meninggal Dunia – Sabah News

Ahmad nawab
Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab

KUALA LUMPUR – Legenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang semalam.

Memetik sumber Berita Harian, berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.

Khairul Hafis berkata, datuknya tidak mempunyai penyakit kronik, namun, keadaannya lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.

“Bulan lalu, kami bawa datuk ke IJN sebab beliau sesak nafas. Selepas dibenarkan pulang, keadaan datuk okay, tetapi, agak lemah.

Tadi, selepas datuk ke tandas, beliau lemah dan tidak sedar. Emak telefon saya suruh datang. Setibanya saya, datuk sudah tiada. Kalau hendak kata datuk sakit kronik… Tiada penyakit kronik,” katanya ketika dihubungi.

Allahyarham Ahmad Nawab dianggap maestro muzik yang mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an.

Pada 5 Jun 2023, Allahyarham Ahmad Nawab dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Allahyarham Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan seperti Allahyarham Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim. Allahyarham Ahmad Nawab juga mencipta lagu untuk bintang Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.