Advertisement

Hampir 12 Jam Tersepit, Pemandu Parah Lori Sarat Baja Terjunam Gaung Lembah Danum – Sabah News





Anggota pasukan Bomba cuba mengeluarkan mangsa tersepit di tempat kejadian – Ihsan JBPM Sabah

LAHAD DATU: Pemandu sebuah lori yang membawa dua kontena seberat 41.2 berisi baja dari Tawau ke Lahad Datu mengalami cedera parah setelah terbabas 30 meter ke dalam gaung di tepi jalan Lembah Danum, sini, semalam.

Mengikut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa tersepit di bahagian pinggang dan kaki.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu termasuk dua dari BBP Kunak cuba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas namun gagal.

Katanya, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu berada dalam keadaan sedar sepanjang operasi sambil dipantau oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.07 petang menggunakan peralatan khas dengan bantuan kren milik syarikat Agensi Trans Link Sdn Bhd dari Tawau.

“Mangsa seterusnya diberikan rawatan awal dan diusung naik ke atas jalan raya dengan menggunakan tali.

“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata seorang jurucakap agensi.

Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 6.40 petang setelah memastikan tiada bahaya lain wujud.