Advertisement

Kos Meningkat, Tapak SMK Nabalu Tuaran Dikaji Semula: KPM

Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diputuskan untuk mengkaji semula cadangan tapak projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabalu Tuaran.

Menurut KPM, selain itu pihaknya dan JKR turut diminta mempertimbangkan lain-lain opsyen bagi mendapatkan kos projek yang lebih optimum.

“Ia susulan pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai projek tersebut pada 19 – 21 Mac 2024 yang mendapati berlaku peningkatan kos sebanyak 143 peratus ketimbang kos projek diluluskan.

“Peningkatan ini berlaku disebabkan tapak projek yang berbukit dan berlembah serta memerlukan kerja pemotongan tanah dan perlindungan cerun yang ekstrem.

“Selain itu, projek ini turut melibatkan keperluan menaik taraf jalan masuk sepanjang 3.5 kilometer bagi memenuhi syarat agensi teknikal tempatan.

“Dalam masa yang sama, KPM merangka untuk mengadakan penilaian libat urus bersama agensi teknikal tempatan bagi memohon pengecualian syarat naik taraf jalan masuk.” jelas KPM dalam satu kenyataan.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) semasa sesi perbahasan Belanjawan 2025 di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.

Dalam ucapan perbahasannya, Madius meminta KPM menyatakan status Projek Pembangunan SMK Nabalu dan SMK Laya – Laya.

Sementara itu, KPM memaklumkan projek pembinaan SMK Laya-Laya kini berada dalam peringkat awal pelaksanaan.

“Kerja awalan seperti pelan ukur dan siasatan tanah telah selesai setakat Oktober 2024.

“Projek ini kini menunggu pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai untuk memuktamadkan skop dan kos, sebelum melalui peringkat Makmal Kejuruteraan Nilai,” ujar kementerian itu lagi.

Untuk rekod, projek SMK Nabalu diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Rolling Plan 3 (RP3) tahun 2023. Manakala SMK Laya – Laya diluluskan di bawah RMKe-12 Rolling Plan 4 (RP4) tahun 2024.