PETALING JAYA: Taikun Malaysia yang juga pengasas Astro dan Maxis, Tan Sri T. Ananda Krishnan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.
Pemergian mendiang yang juga Pengerusi Usaha Tegas Sdn. Bhd telah disahkan oleh syarikat tersebut dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Memetik Utusan Malaysia, mendiang disenaraikan sebagai individu ketiga terkaya di Malaysia oleh Forbes selepas hartawan hotel dan hartanah Robert Kuok serta Quek Leng Chan dari Hong Leong, dengan nilai kekayaan bersih sebanyak AS$5.1 bilion.(RM23 bilion)
Beliau merupakan seorang alumni Sekolah Perniagaan Harvard, dan seperti yang diketahui umum, Ananda mengasaskan pengendali mudah alih kedua terbesar di Malaysia, Maxis Bhd, serta syarikat penyiaran dan media, Astro Malaysia Holdings Bhd.
Beliau juga memiliki pegangan besar dalam penyedia perkhidmatan lapangan minyak, Bumi Armada Bhd, melalui Objektif Bersatu Sdn Bhd.