Advertisement

Lelaki Warga Asing Ditahan, Disyaki Rogol Anak Tiri Berusia 15 Tahun – Sabah News

Foto: Ihsan PDRM

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas disyaki terlibat dalam kes rogol anak tirinya yang berusia 15 tahun di kawasan perkampungan, di Kalabakan, tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, perbuatan suspek itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada ibu saudaranya sebelum tampil membuat laporan polis. 

Katanya, mangsa sebelum itu mengadu sakit perut telah dihantar ibu saudaranya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tawau, pada pagi Selasa lalu.

Menurut beliau, mangsa telah menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada ibu saudaranya setelah pihak Hospital memaklumkan tahap kesihatan mangsa kepadanya.

“Berdasarkan siasatan awal, perbuatan tersebut berlaku sejak mangsa masih berusia 11 tahun sehingga yang terbaru pada bulan lalu di rumahnya,” katanya.

Sementara itu, sepasukan polis dari Balai Polis Kalabakan yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Kalabakan telah memberkas seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun pada jam 12.30 tengah hari di sekitar kawasan Kampung Murut, Kalabakan kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan, Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Pihak polis menyeru kepada orang ramai agar memainkan peranan dan melaporkan sebarang tanda-tanda penderaan seksual bagi melindungi golongan yang lemah, terutama kanak-kanak dan remaja daripada menjadi mangsa keganasan seksual.