BANGKOK: Jeritan dari dalam perigi kering yang sudah lama terbiar di Mae Sot, wilayah Tak disangkakan suara hantu, tapi sebenarnya adalah jeritan rayuan meminta bantuan oleh seorang lelaki yang terperangkap di dasar perigi sedalam 12 meter.
Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), perigi kering itu terletak di dalam hutan menyebabkan penduduk kampung berhampiran tidak menyangka ada manusia di dalam perigi berkenaan.
Akibatnya, lelaki warga China berkenaan terperangkap selama tiga hari kerana suara didengari seperti bunyi mengilai.
The Universal Daily News di Thailand pula melaporkan bahawa pada 24 November, polis tempatan di Mae Sot, wilayah Tak, berhampiran sempadan Thai-Myanmar, menerima laporan daripada penduduk kampung yang mendengar jeritan dari hutan berhampiran.
Polis bersama anggota penyelamat kemudian meneroka ke dalam hutan itu untuk menyiasat bunyi aneh tersebut, sebelum panggilan mereka disambut oleh suara mangsa.
Mengikut sumber bunyi itu, mereka kemudian menemukan seorang lelaki terperangkap di dasar perigi kering sedalam 12 meter.
Operasi menyelamat berlangsung selama 30 minit, dan lelaki itu ditemukan dalam keadaan lemah dengan patah pergelangan tangan kiri, mengalami gegaran otak, dan lebam di seluruh badannya sebelum segera dibawa ke hospital untuk rawatan perubatan.
Menerusi penterjemah, lelaki yang dikenali sebagai Liu Chuanyi, 22, mendedahkan dia terperangkap dalam perigi selama tiga hari dan malam, tanpa makanan atau air.
Untuk mengekalkan kekuatannya, dia menjerit meminta tolong hanya sekali setiap jam.
Penduduk berhampiran melaporkan mendengar bunyi aneh dari hutan. Dalam tempoh tiga hari terutamanya pada waktu malam, bunyi itu semakin kuat.
Menganggap bunyi ini sebagai ‘suara hantu’, mereka mengelak keluar selepas gelap dan tidak berani menyiasat sumbernya.
Apapun Liu lega kini sudah keluar daripada zon bahaya dengan pasukan penyelamat mengesyaki dia merayau ke dalam hutan dan secara tidak sengaja terjatuh ke dalam perigi ketika cuba mencari jalan keluar.
Sebab di sebalik kehadirannya di sempadan Thailand-Myanmar masih tidak jelas, tetapi pihak berkuasa menghubungi jabatan imigresen untuk menyiasat punca lelaki itu berada di kawasan berkenaan.