JAKARTA: Pendakwah Indonesia, Miftah Maulana Habiburrahman mengumumkan meletak jawatan sebagai Utusan Khas (Bahagian Kerukunan Beragama) Presiden Prabowo Subianto pada Jumaat.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana rasa cinta, hormat dan tanggungjawab yang sangat mendalam kepada Prabowo.
“Tindakan ini bukan langkah terakhir saya untuk berkhidmat kepada negara melainkan cara yang lebih luas,” katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan CNN Indonesia.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Prabowo di atas kesempatan yang diberikan kepadanya selama ini dan juga meminta maaf kerana tidak menjadi seperti yang diharapkan.
Sebelum ini, tular video yang memaparkan Miftah, 43, atau dikenali sebagai Gus Miftah mempersendakan dan menghina seorang penjual air teh ketika berdakwah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengutuk tindakan Miftah dengan berkata keangkuhan dan sombong bukan sahaja di kalangan orang yang tidak tahu agama.
“Tapi dari orang yang faham tentang agama, yang berbicara tentang Islam dan akidah, solat dan sunat.
“Bila timbul keadaan begitu dilihat dia boleh menghina,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan pada Khamis.