Advertisement

Tiada Faedah Alternatif Ditawar Kepada 165 Pesara LPPS Yang Tuntut Hak Wang Caruman RBS – Kementerian Kewangan – Sabah News

KUALA LUMPUR: Tiada faedah alternatif baharu ditawarkan kepada 165 pesara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) yang menuntut hak ke atas wang caruman mereka dalam Retirement Benefit Scheme (RBS).

Menurut Kementerian Kewangan, hasil semakan daripada tuntutan mereka di mahkamah mendapati bahawa 157 plaintif adalah Full Pension Scheme dan lapan orang plaintif Full EPF Benefits. 

“Tuntutan daripada pesara-pesara LPPS ini di mahkamah telah pun ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 22 Mac 2010.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa pesara-pesara LPPS yang membuat tuntutan tersebut telah terhenti (estopped) dari memohon baki itu dikembalikan kepada mereka dan perkara ini tidak boleh dibuka semula atas prinsip res judicata.

“Dalam hubungan ini, kementerian mendapati bahawa tindakan LPPS menyerahkan wang tersebut kepada KWAP adalah teratur dan tiada faedah alternatif baharu ditawarkan kepada pesara LPPS.” katanya.

Kementerian Kewangan menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap pertanyaan yang dikemukakan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam sesi Soalan Lisan Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.

Dalam soalannya, Madius meminta Kementerian Kewangan menyatakan apakah penyelesaian kepada sekumpulan pesara LPPS untuk menerima wang persaraan mereka setelah dipertikaikan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Memandangkan wang terkumpul hasil daripada RBS mereka di tabung KWAP adalah melebihi RM5.8 juta, adakah kementerian berhasrat menawarkan faedah alternatif kepada mereka?” soal Madius.

Kementerian itu menjelaskan, caruman dalam skim RBS hanya melibatkan caruman oleh majikan iaitu LPPS sebanyak 20 peratus dan tiada caruman atau sumbangan yang dibuat oleh pekerja.

“Selaras dengan pengenalan skim pencen badan berkanun dan tempatan melalui Suruhanjaya Harun, bahagian wang yang dicarumkan oleh majikan bagi pekerja yang memilih opsyen Full Pension Scheme perlu dipulangkan kepada majikan.

“Sehubungan itu, LPPS selaku majikan telah menyerahkan wang RBS tersebut kepada KWAP selaras dengan Seksyen 8, Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 [Akta 239] dan Seksyen 13 Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 [Akta 662].

“Manakala bagi pekerja yang memilih opsyen Full EPF Benefits, mereka dibenarkan untuk membuat pengeluaran simpanan daripada keseluruhan caruman majikan dan pekerja sebagaimana peraturan sedia ada di bawah skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain daripada reduced pension dan reduced gratuity,” jelas kementerian itu lagi.