KOTA KINABALU: Api memusnahkan 7 buah rumah atas air di Tanjung Aru Baru Laut, sini, tengah hari tadi.
Menurut pihak Bomba, rumah terlibat ialah 4 buah berukuran 50×100 kaki dan 3 buah lagi berukuran 20×35 kaki yang terbakar 100 peratus.
Walau bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Seramai 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bertindak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.43 dan tiba dalam masa 5 minit.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan 4 aliran 200 kaki dan 6 pancutan sumber air dari tangki jentera dan sumber air laut.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 5.49 petang,” kata seorang jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Operasi pemadaman turut melibatkan 5 anggota BBP Penampang, 8 orang BBP Putatan dan seramai 20 orang Bomba Komuniti Tanjung Aru.