Advertisement

Warga Emas Dikhuatiri Lemas Ketika Lalu Jambatan Belum Siap – Sabah News





KOTA MARUDU: Seorang lelaki berusia 69 tahun dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah selama dua hari sejak Ahad (1 Dis) di Kg Tambun, sini.

Bagaimanapun, usaha pencarian pasukan Bomba bagi Pencen Gundiar @ Pyron, hanya dimulakan hari ini setelah pihak keluarganya membuat laporan polis pada Selasa.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, pihak polis telah membuat pencarian awal.

Siasatan awal pihak polis mendapati pekerja pembinaan jambatan kampung berkenaan terlihat seseorang melalui jambatan yang dalam proses pembinaan pada kira-kira pukul 4 pagi Isnin.

“Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Kota Marudu berhubung kes pada pukul 11.30 pagi hari ini.

“Lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian berjarak 10KM untuk mengambil maklumat dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi dijalankan dari Sungai Tambun menyusuri Sungai Bandau dengan mencari atas permukaan air menggunakan bot penyelamat.

“Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” kata seorang jurucakap agensi.