KOTA KINABALU: Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Sabah, Sazalye Donol menyifatkan ucapan Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan di majlis pelancaran Pemuda GRS pada Ahad tidak sensitif terhadap kestabilan dan keamanan negara terutama di Sabah.
Beliau merujuk kepada kandungan ucapan Dr. Jeffrey yang melabelkan parti-parti politik berpangkalan dari Semenanjung sebagai penjajah dan pemimpinnya sebagai pengkhianat.
“Ianya amat keterlaluan dan berbentuk hasutan. PKR Sabah memahami dan menghormati tuntutan hak-hak dalam MA63.
“Tetapi ia perlulah dibuat dengan berhemah dan dengan semangat kekeluargaan selaras dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Keberadaan parti-parti yang berpangkalan dari semenanjung Malaysia tidak melanggar perlembagaan Malaysia manakala pemimpin-pemimpinnya pula bukanlah pengkhianat.
“Melabel dan menuduh dengan tuduhan liar teresebut amat tidak bertanggungjawab dan boleh dikategorikan berbentuk hasutan,” katanya.
Sazalye turut berkata Dr Jeffrey tidak mencapai apa-apa dalam perjuangan MA63 selain dari “retorik bermusim pilihanraya”.
“Semua hak-hak yang telah dikembalikan semula setakat ini adalah atas inisiatif dan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebelum dituntut secara rasmi oleh mana-mana pihak semasa Kerajaan Madani.
“Kami mencabar agar Jeffrey segera keluar dari gabungan kerajaan perpaduan jika sudah tidak boleh bekerjasama dengan parti-parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.