KOTA KINABALU: Pihak sekolah dan ibubapa serta calon-calon yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dinasihatkan untuk sentiasa peka kepada laporan cuaca di musim tengkujuh ini.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, ia adalah bagi memastikan calon SPM terlibat dapat menduduki peperiksaan dengan lebih teratur dan selamat.
“Kita tahu di musim tengkujuh ini, taburan hujan begitu tinggi, jadi salah satunya persiapan kita ialah, kita sentiasa memantau daripada laporan cuaca supaya kita ketahui bila dan taburan hujan tinggi. Jadi sekurang-kurangnya kita dapat bersedia.
“Jadi begitu juga persiapan sekolah di mana perlu bersiap sedia kerana kita pun sekarang ini akan menghadapi peperiksaan SPM, kita ingin mahukan supaya persiapan pihak sekolah jika berlakunya banjir apa perlu ditangani.
“Begitu juga kepada ibubapa supaya peka kepada laporan akan, jika ada berlaku banjir akan terus merujuk kepada pihak sekolah supaya kita dapat bersiap sedia supaya tidak mengalami satu situasi yang sulit nanti,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM telah bersiap sedia melaksanakan peperiksaan SPM dalam situasi banjir dengan berpandukan Prosedur Operasi Standard (SOP) Ops Payung.
Katanya, KPM bekerjasama erat dengan agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.