Advertisement

Jalinan Strategik Jadikan Sabah Pusat Pelancongan Filem Di Kiulu – Sabah News

KOTA KINABALU: Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) dan Perbadanan Pelancongan Sabah (STB) mencapai persetujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik menjadikan Sabah sebagai pusat pelancongan filem.

Presiden KKFVA Chester Pang berkata satu memorandum kerjasama dijangka dimeterai pada awal 2025 untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif ke arah mencapai matlamat terbabit.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai selepas kunjungan hormat KKFVA kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB, Julinus Jeffery Jimit, di pejabatnya di Kota Kinabalu baru-baru ini.

“Pertemuan ini bertujuan membentangkan kertas kerja cadangan kerjasama bagi membuka peluang baharu kepada pembikin filem tempatan, di samping mempromosikan keindahan alam semula jadi dan kekayaan budaya Sabah di persada dunia melalui filem serta pasaran filem antarabangsa.

“Keindahan alam semula jadi Sabah dan warisan budayanya yang kaya dan pelbagai membuka peluang signifikan kepada pelancongan berasaskan filem.

“Dengan mengetengahkan tarikan unik Sabah menerusi filem, dokumentari, dan siri televisyen, negeri ini dapat meningkatkan jenama pelancongan globalnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Chester berkata, perbincangan mereka turut menumpu ke arah meneroka potensi industri filem dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi dan produk pelancongan, memudahkan kolaborasi antara STB, penggiat industri tempatan dan rumah produksi antarabangsa, dan mewujudkan garis panduan dan insentif untuk produksi memilih Sabah sebagai lokasi penggambaran.

Penerbit filem Craze Below The Wind itu juga berkata, produksi tempatan turut menjadi penyumbang kepada pelancongan dan ekonomi Sabah.

“Perbelanjaan produksi menunjukkan peningkatan ketara dari 2022 hingga 2024.

“Perbelanjaan penghasilan filem tempatan oleh produksi Sabah sahaja mencecah RM2.72 juta pada 2022, RM3.09 juta pada 2023, dan RM6.97 juta pada 2024.

“Pada 2022 dan 2023, hanya empat dan lima filem tempatan masing-masing ditayangkan di pawagam. Namun, tahun ini, sebanyak 22 filem sedang dalam pembikinan.

“Tiga filem tempatan sudah pun ditayangkan di pawagam, tujuh lagi dalam fasa pra-produksi, lima dalam fasa pasca-produksi, dan 10 filem lagi bakal ditayangkan di pawagam.

“Perbelanjaan produksi ini belum termasuk dokumentari, drama, telemovie, dan bentuk produksi media yang lain,” katanya.

Menurutnya lagi, KKFVA turut mencadangkan beberapa strategi yang boleh dilaksanakan antara persatuan terbabit bersama STB ke arah merealisasikan Sabah sebagai pusat pelancongan filem.

Antara yang dicadangkan adalah mewujudkan sebuah taman perfileman di Kiulu yang akan dilengkapi kemudahan seperti studio mini, rumah kebudayaan, penginapan produksi, dan ruang pelbagai fungsi.

“Taman perfileman ini akan memberi manfaat kepada pembikin filem, pelancong, dan juga masyarakat tempatan.

“Bagi pembikin filem, ia akan menyediakan mereka hab produksi yang lebih murah dan versatil, serta dilengkapi latar belakang kebudayaan dan alam semula jadi.

“Selain itu, taman ini boleh menjadi satu lagi tarikan pelancongan baharu di Sabah, dengan pelancong dapat merasai pengalaman menyaksikan di sebalik tabir pembikinan filem serta menikmati kebudayaan dan keindahan alam semula jadi di sekitarnya.

“Ini secara langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, bukan sahaja untuk komuniti filem tetapi juga kepada penjaja serta peniaga kecil.

“Kita juga boleh menarik produksi filem antarabangsa untuk menggunakan kemudahan ini, sekali gus menambah pendapatan negeri,” katanya.

Menyambut baik cadangan terbabit, Julian turut mencadangkan KKFVA menimbangkan untuk mewujudkan sebuah perkampungan filem mini sebagai kemudahan penggambaran, terutamanya bagi cerita berkaitan Sabah-Borneo.

“Pada masa yang sama, perkampungan ini boleh menjadi pusat tarikan pelancong apabila tiada penggambaran dijalankan.

“Saya kagum dengan potensi besar yang dimiliki industri perfileman Sabah dalam menarik pelancong.

“Saya akan membawa cadangan kerjasama ini ke peringkat lembaga pengarah untuk diperhalusi,” katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha KKFVA Sahara Usli; Exco KKFVA, Zahm Zulkifli dan Jade Morris, Pegawai Eksekutif KKFVA, Bibi Harith, serta pengarah dan penerbit filem tempatan, Michelle Pang dan Gregory Giting.