KOTA KINABALU: Tindakan beberapa pihak yang mempertikai pelantikan Tun Datuk Seri Musa Aman sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sabah kerana kononnya sebelum ini beliau terlibat kes rasuah merupakan tuduhan yang agak berat, kata Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Jelas Rahman, tuduhan itu agak berat kerana secara tidak langsung mereka mempertikaikan kebijaksanaan Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang telah melantik Tun Musa sebagai TYT Sabah yang baharu.
“Sebelum saya mengulas lebih lanjut, terlebih dahulu biar saya menegaskan tiga perkara untuk memberi konteks kepada ulasan saya ini.
“Pertama, hak setiap rakyat Malaysia untuk memberi pandangan adalah dilindungi oleh undang-undang negara selagi ianya tidak mengandungi unsur-unsur fitnah, tidak melanggar undang-undang dan tidak menghasut terutamanya terhadap institusi YDPA.
“Kedua, kita mengalu-alukan apa jua usaha untuk membanteras kegiatan rasuah dan salah guna kuasa demi masa depan negara kita.
“Ketiga, idealisme untuk menjuarai isu-isu yang melibatkan kepentingan awam perlu diberi dokongan agar ia boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, persoalan yang timbul sekarang ialah kepada siapa perlu dirujuk untuk menilai sama ada tuduhan yang berat ini betul atau tidak.
“Sudah tentu rujukan utama kita ialah kepada keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah, SPRM dan Peguam Negara kerana ketiga-tiga entiti ini telah melepaskan Tun Musa daripada tuduhan rasuah.
“Untuk makluman, YDPA, Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah sekarang ini langsung tidak terlibat dalam keputusan pembebasan Tun Musa pada Jun 2020 kerana ketiga-tiga mereka belum pun memegang jawatan mereka pada waktu itu.
“Saya yakin pembebasan Tun Musa oleh ketiga-tiga entiti ini telah menjadi asas utama kepada proses “vetting” atau tapisan ketat yang telah dilakukan oleh pihak Istana Negara sebelum mengumumkan perlantikan TMA sebagai TYT,” jelasnya.
Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO Malaysia berkata, asas lain yang diambil kira ialah khidmat Tun Musa sebagai Ketua Menteri Sabah dan pencapaian pembangunan negeri Sabah yang memberangsangkan semasa pentadbiran beliau.
“Jika ada pihak mempertikai perlantikan Tun Musa kerana kononnya ada tangan-tangan ghaib yang mempengaruhi keputusan mahkamah, SPRM dan Peguam Negara, saya ingin cadangkan mereka merujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh Independent Commission Against Corruption (ICAC), Hong Kong.
“Kerana sebelum ini, ada seorang ahli parlimen pembangkang (pada waktu itu), telah membuat aduan rasuah yang sama terhadap Tun Musa kepada ICAC.
“ICAC adalah antara agensi anti rasuah yang paling dihormati dan disegani di persada antarabangsa.
“Menurut Transperancy International (sebuah badan bebas antarabangsa yang berfungsi untuk memantau dan membanteras rasuah di seluruh dunia), reputasi dan profesionalisme kerja ICAC telah menjadi piawaian emas atau “Gold Standard” kepada agensi pembenteras rasuah di seluruh dunia.
“Tiada siapa yang berani menuduh ICAC dipengaruhi oleh tangan-tangan ghaib kerana ICAC mempunyai kredibiliti yang sukar untuk dipertikai.
“Untuk makluman, ICAC telah membuat siasatan yang terperinci (termasuk kerja-kerja siasatan dalam Malaysia) terhadap tuduhan ahli pembangkang itu dan akhirnya ICAC mendapati tidak ada kes yang boleh dituduh terhadap Tun Musa,” tegasnya.