Advertisement

Pemergian Elphedge Kehilangan Besar Buat Dunia Kewartawanan Sabah – Madius – Sabah News

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyifatkan pemergian Elphedge Godomon sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan khususnya di Sabah.

Menurutnya, Elphedge merupakan antara tokoh wartawan terawal yang melaporkan berita, peristiwa dan hal ehwal semasa di Sabah agar terus mendapat sorotan dan perhatian di peringkat nasional melalui saluran media penyiaran TV3.  

“Berita pemergian beliau pada awal minggu ini mengejutkan ramai pihak.

“Seorang yang berdedikasi, disenangi rakan seperjuangan, masyarakat dan para pemimpin tempatan baik dalam urusan kerja mahu pun dalam pergaulan.

“Saya secara peribadi turut mengenali beliau dan keluarga.

“Pemergian mendiang merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga, tetapi juga kepada dunia kewartawanan di Sabah,” katanya selepas menghadiri upacara penghormatan terakhir mendiang di Gereja Katolik St. Martin Kampung Malangang Lama Kiulu, di sini hari ini.

Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO turut mengajak semua pihak mendoakan agar keluarga mendiang terus diberikan kekuatan dan ketabahan.

“Mari kita sama-sama mendoakan agar roh beliau diberi ketenangan dan kedamaian.

“Kita doakan juga agar keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat memilukan ini.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga,” katanya.

Upacara yang berlangsung jam 11.00 pagi itu turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar, rakan-rakan media, saudara mara dan sahabat handai mendiang.

Elphege meninggal dunia pada usia 53 tahun di kediaman keluarganya di Kampung Kionsom Lama, di sini pada 24 Disember lalu.

Elphege yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan pernah berkhidmat di Bilik Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3 Sabah selama 24 tahun sejak 1994 dan jawatan terakhir sebagai Ketua Biro Sabah pada 2018.

Mendiang yang juga ketua editor portal Nabalu News meninggalkan dua anak berusia 17 dan 19 tahun. Isterinya meninggal dunia pada tahun 2016.