KUALA LUMPUR: Analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun kuat dijangka memasuki rantau negara bermula pada 9 Januari dan berterusan sehingga 13 Januari 2025.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan di timur dan selatan Semenanjung dalam tempoh berkenaan.
“Kawasan barat Semenanjung juga berisiko mengalami hujan berterusan sepanjang tempoh tersebut.
“Berikutan daripada luruan monsun kuat ini juga, perairan Laut China Selatan dijangka mengalami angin kencang dan laut bergelora. Keadaan ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan laut.
“Kenaikan paras air laut turut dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan serta berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” jelas MET Malaysia dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
MET Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan sebaik sahaja output model-model ramalan cuaca mencapai tahap keyakinan yang tinggi.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut.