TAWAU: Mayat seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun ditemui dengan kesan tetakan parang di kiri dan kanan kepala dalam sebuah rumah di ladang dekat Jalan Sing Ho, Merotai Besar, pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, polis kemudian berjaya menahan seorang suspek warga asing, 33, dan merampas sebilah parang yang dipercayai senjata digunakan dalam pembunuhan.
“Suspek merupakan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan bekerja sebagai buruh ladang di sebuah ladang di Merotai Besar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, polis sebelum ini menerima laporan di Balai Polis Bombalai pada jam 2.44 petang daripada seorang pemanggil lelaki melaporkan pergaduhan di sebuah pondok di Merotai Besar pada 1.45 tengah hari yang membabitkan parang.
Jasmin berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, polis menemui mayat lelaki itu dengan kesan tikaman dalam rumah dan membawa mayat ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai perselisihan faham antara mangsa dan suspek,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di Malaysia.
Jasmin berkata suspek ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.