BEAUFORT: Pembinaan 12 unit kedai bernilai kira-kira RM4.5 juta di Pekan Weston di sini berupaya membantu masyarakat setempat khususnya usahawan tempatan menjana pendapatan atau ekonomi tambahan di kawasan berkenaan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, Pekan Weston merupakan salah satu kawasan destinasi pelancongan dan perlu mempunyai sebuah bangunan baharu.
“Kita memilih Pekan Weston ini kerana pekan ini adalah salah satu destinasi pelancong yang ramai orang datang dan kalau kita melihat Pekan Weston yang lama itu kita mempunyai kedai yang sudah berusia.
“Justeru, sebagai pemimpin pada hari ini dengan kerajaan yang ada pada hari ini akan memberi keutamaan Pekan Weston ini untuk pembinaan 12 unit kedai ini.
“Sudah tentu harapan kita untuk pembinaan 12 unit kedai ini agar peniaga akan ada ruang dan peluang untuk memiliki kedai tersebut dengan harga yang di bawah RM400,000 dan kita di peringkat kerajaan sangat mengharapkan kepada usahawan-usahawan kita akan memiliki kedai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Kedai Sosio Ekonomi Pekan Baru Weston di Pekan Weston di sini, semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, dengan pembinaan kedai itu juga akan dapat menyediakan perkhidmatan pekerjaan kepada orang lain selain berupaya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat itu sendiri.
“Pembinaan kedai ini dijangka akan siap penghujung tahun ini dan awal tahun depan dijangka proses jual beli kedai akan dilaksanakan, jika tiada halangan pertengahan 2026 bangunan kedai itu nanti akan beroperasi kepada peniaga,” katanya.