Advertisement

Lelaki Warga Asing Bawa Syabu, Gagal Melarikan Diri Selepas Bergelut Ketika Ditahan Polis – Sabah News

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu seberat 0.23 gram dalam satu operasi yang dilakukan di kawasan sebuah restoran di Batu 4, Jalan Apas, Tawau, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 10.40 malam oleh sepasukan anggota polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau ketika dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

Katanya, ketika pihak polis menghampiri suspek bertindak melarikan diri ke arah kawasan semak berhampiran.

Bagaimanapun, anggota polis berjaya menahan suspek selepas berlaku pergelutan di antara suspek dan pihak polis.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu di dalam poket seluar suspek dengan anggaran berat 0.23 gram dan suspek gagal memberikan penjelasan mengenai pemilikan bahan itu,” katanya, semalam.

Menurut ACP Jasmin, suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berdasarkan siasatan awal.

Suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk ujian saringan air kencing, dan hasil mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tambahnya, pihak polis juga menggesa orang ramai agar sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan dadah yang boleh memudaratkan masyarakat.

“Maklumat daripada orang ramai amat penting untuk memastikan kegiatan seperti ini dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” tambah beliau.

Operasi sedemikian adalah sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), IPD Tawau dalam memerangi jenayah berkaitan dadah di kawasan daerah Tawau.