Advertisement

Penglibatan Wanita Dalam Ekonomi, Politik Sabah Masih Ketinggalan – Azizah – Sabah News

KOTA KINABALU: Penglibatan kaum wanita dalam pembangunan dan ekonomi di Sabah masih jauh ketinggalan sekali gus memerlukan anjakan besar serta melibatkan sokongan daripada semua pihak.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Azizah Mohd Dun berkata, jurang penyertaan wanita dalam ekonomi dan politik masih lagi besar dan menjadi satu cabaran bagi membolehkan mereka memainkan peranan dalam kemajuan negeri.

“Kita semua menyedari bahawa wanita memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan negeri dan negara. Walau bagaimanapun, menurut Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2022, terdapat jurang yang jelas dalam peluang penyertaan ekonomi serta penguasaan politik wanita.

“Skor penguasaan politik wanita hanya 0.102, yang menandakan cabaran besar yang perlu diatasi untuk memperkukuhkan peranan wanita dalam bidang ini.

“Di Sabah, hanya 18 peratus wanita yang memegang jawatan sebagai Ahli Majlis di pihak berkuasa tempatan, sementara hanya 26 peratus wanita yang berada dalam lembaga pengarah dan memegang jawatan CEO di agensi kerajaan dan GLC,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Townhall Bajet Wanita Negeri Sabah 2025 di sini hari ini.

Azizah berkata, perwakilan wanita dalam kepimpinan pelbagai parti-parti politik juga jelas masih rendah, malah data menunjukkan bahawa hanya sekitar empat hingga 13 peratus penglibatan.

“Keadaan ini merupakan satu angka yang menunjukkan keperluan mendesak untuk mengatasi halangan yang dihadapi wanita di negeri ini.

“Sebagai negara yang berhasrat mencapai kesamarataan gender dalam pembangunan, kita menghadapi cabaran besar dalam penglibatan wanita dalam kepimpinan khususnya di negeri Sabah.

“Walaupun wanita semakin ramai berpendidikan tinggi dan berkelayakan, namun, perwakilan mereka dalam kepimpinan sektor awam dan swasta masih belum mencerminkan potensi sebenar mereka,” katanya.

Jelas beliau, di Sabah, hanya sekitar 14 peratus wanita menduduki jawatan dalam kumpulan pembuatan keputusan di sektor awam, sementara majoriti masih berada di peringkat sokongan dan perkeranian. Ini menunjukkan wujudnya halangan untuk wanita mencapai peranan strategik dalam organisasi.

Tambah beliau, meskipun dasar kerajaan Malaysia pada 2004 mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam sektor awam, penyertaan wanita di peringkat tertinggi pengurusan awam dan swasta tetap rendah.

“Di Sabah, kadar penglibatan mereka dalam kepimpinan peringkat tinggi dan penggubalan dasar masih terbatas. Kita mendapati cabaran dalam budaya dan persepsi sosial yang membatasi wanita untuk mengambil peranan kepimpinan.

“Di beberapa kawasan luar bandar Sabah, pandangan konservatif terhadap peranan wanita masih kukuh, menyebabkan kurangnya sokongan terhadap wanita yang beraspirasi untuk menduduki jawatan pengurusan atau membuat keputusan.

“Ditambah dengan kekurangan program bimbingan dan pembangunan khusus untuk wanita yang bercita-cita menjadi pemimpin, jurang dalam kepimpinan wanita ini menjadi semakin ketara,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta kaum wanita sendiri serta pihak yang berkaitan untuk membantu program-program pemerkasaan wanita dalam pelbagai bidang bagi membolehkan kaum Hawa terlibat secara lebih aktif dan berkesan dalam pembangunan dan kemajuan negeri serta negara.