KENINGAU: Satu kes penyakit Demam Babi Africa (African Swine Fever-ASF) telah dikesan semula di daerah Keningau pada 07 Januari lalu melibatkan seorang penternak babi kampung di daerah ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan berkata, sejumlah 12 ekor babi terkesan daripada 20 ekor ternakan babi beliau.
“Pelupusan dan kawalan pergerakan babi di ladang tersebut telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Wilayah Keningau. Penemuan ini menjadikan daerah Keningau bertukar semula status daripada zon hijau (Zon Pemulihan) kepada zon merah (Zon Terjangkit),” katanya di sini, hari ini.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, berdasarkan siasatan lapangan, ternakan babi tersebut menunjukkan tanda-tanda klinikal seperti kurang selera makan, lemah, hidung berair dan akhirnya mati.
Maklumnya, sampel telah diambil, diuji dan keputusan makmal adalah positif terhadap penyakit ASF.
“Tindakan kawalan pantas telah diambil oleh pihak DVS selaras dengan arahan di bawah Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015 dengan mengenakan, sekatan kawalan pergerakan babi dan produk babi daripada daerah Keningau.
“Selain itu, Servalens aktif dan pasif juga dipertingkat di seluruh Sabah bagi memastikan penyakit ini tidak menular. Para penternak dinasihatkan untuk mempertingkat biosekuriti ladang dan kandang menternak.
“Para penternak babi turut dilarang memberi sisa buangan dapur yang tidak dimasak semula kepada ternakan babi dan melawat kandang atau ladang yang berpenyakit dan dinasihatkan tidak membeli babi hidup ataupun daging babi daripada sumber yang tidak diketahui tahap kesihatan ternakannya,” jelasnya.
ASF adalah penyakit yang disebabkan oleh kuman Asfvirus. Ia menjangkiti babi melalui sentuhan secara langsung dengan babi yang berpenyakit ASF dan juga secara tidak langsung melalui sentuhan dengan perkakasan atau pengendali yang tercemar dengan kuman ASF.
Orang awam terutama para penternak dan pengusaha ladang babi adalah dinasihatkan untuk melaporkan kejadian babi sakit atau mati berterusan kepada mana-mana pejabat DVS terdekat untuk tindakan segera agar penyakit dapat dibendung dengan kadar segera.
Kementerian melalui DVS juga memaklumkan bahawa bekalan daging babi menjelang perayaan Tahun Baru Cina adalah mencukupi dari ladang babi tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Terdahulu Keningau telah diisytihar sebagai daerah dijangkiti ASF pada 1 Julai 2021. Buat masa ini, tiada kes terbaru dikesan pada babi hutan. Semua ladang babi komersil di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang juga masih bebas penyakit ASF.
Sekali lagi diingatkan bahawa ASF hanya menjangkiti ternakan babi sahaja dan tidak bersifat zoonotik (ASF bukan penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia). Oleh itu masyarakat tidak perlu risau akan kesan ASF terhadap kesihatan manusia.