Advertisement

DBKK Kembalikan Fi Hotel Kepada Kadar Asal Tahun 1966 – Sabah News

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kelulusan Kerajaan Negeri telah mengembalikan pengenaan kadar asal fi lesen di bawah Undang-undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 berkuatkuasa 01 Januari 2025.

Pengiraan fi lesen hotel dan rumah lojing adalah berasaskan kepada formula yang dinyatakan dalam UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 dengan mengambil kira kategori kelas hotel dan kadar penghunian (occupancy rate) sesuatu hotel tersebut.

Dalam sebuah kenyataan, DBKK menjelaskan fi sebenar yang dikenakan untuk setiap bilik hotel yang dihuni adalah RM4.65 sebilik/sehari untuk Kelas 1, RM2.65 sebilik/sehari untuk Kelas 2 dan RM1.30 sebilik/sehari untuk Kelas 3.

“Sekiranya bilik tersebut tidak dihuni, tiada bayaran fi yang akan dikenakan.

“DBKK perlu menguatkuasakan mana-mana perundangan atau peraturan sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang yang diguna pakai di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Ini termasuklah membuat kutipan fi lesen.

“Hasil daripada kutipan fi lesen yang diperolehi akan digunakan untuk menampung kos penyampaian pelbagai perkhidmatan di sekitar kawasan bandaraya, sekali gus memastikan Bandaraya Kota Kinabalu terus menjadi tarikan kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, bayaran fi lesen hotel itu merupakan salah satu dari kos operasi perniagaan hotel dan boleh diambil kira dalam proses pengisytiharan penyata cukai pendapatan tahunan para pengusaha hotel.

Untuk melicinkan proses pengutipan fi, Garis Panduan Permohonan dan Pembaharuan Lesen Hotel Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah diwujudkan bagi menerangkan secara terperinci berkenaan syarat-syarat permohonan, dokumen yang diperlukan, kaedah kiraan dan pelaksanaan fi lesen hotel untuk kemudahan rujukan pengusaha hotel.

“Selain itu, DBKK juga telah mewujudkan sistem pengisian borang penghunian (occupancy form) di dalam web DBKK eServices untuk memudahkan pihak pengusaha hotel membuat kiraan dan pembayaran secara dalam talian,” tambahnya.

Terdahulu, sebelum kadar fi lesen di bawah UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 dikuatkuasakan semula, DBKK telah mengadakan dua Sesi Libat Urus yang dipengerusikan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah pada 1 dan 29 Oktober 2024.

Penganjuran sesi libat urus bersama para pengusaha industri perhotelan dan rumah lojing itu menjadi platform untuk menerangkan mekanisma pelaksanaan UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 selain mendengar maklum balas daripada para pemain industri.

“Berkenaan dengan isu Short Term Rental Accommodation (STRA) yang diutarakan oleh pihak persatuan perhotelan, DBKK sebenarnya telahpun mengambil langkah dengan mewujudkan garis panduan khusus Short Term Rental Accommodation (STRA) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk mengawal selia aktiviti ini dan telah dikuatkuasakan mulai 2 Januari 2025, yang mana juga adalah tertakluk kepada UUK (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966.

“Setakat 15 Januari 2025, lebih dari 50 peratus pengusaha hotel iaitu sebanyak 99 pengusaha hotel telah menjelaskan bayaran fi lesen hotel & rumah lojing untuk bulan Januari 2025,” jelasnya.