KENINGAU: Pereka grafik atau aktivis dari Semenanjung, Fahmi Reza bakal dikenakan saman ‘sogit’ susulan penerbitan karikatur yang didakwa menghina Yang Dipertuan Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Musa Aman.
Memetik laporan Harian Ekspres, saman itu akan dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau.
Jelas laporan itu lagi, karikatur terbabit yang tersebar luas di media sosial dan dilukis di beberapa lokasi awam, dianggap oleh pihak MAN sebagai satu penghinaan serius terhadap Musa serta masyarakat Sabah, khususnya komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).
Ketua Daerah (KD) Bingkor, OKK Daniel Palangi, yang mewakili MAN Keningau, memaklumkan bahawa keputusan untuk mengambil tindakan dibuat melalui mesyuarat khas pemegang adat.
Mesyuarat tersebut melibatkan Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), dan Ketua Kampung (KK) di Keningau, di mana kesemua pihak bersetuju agar saman dikeluarkan terhadap Fahmi Reza.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa Mahkamah Anak Negeri Keningau perlu mengambil tindakan tegas mengikut adat dan peraturan yang termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah No. 13 Tahun 1992,” jelas Daniel.
Menurutnya, saman tersebut bertujuan untuk menuntut “sogit” (pampasan adat) daripada Fahmi Reza kerana tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej Musa, tetapi juga menyinggung maruah masyarakat Sabah, terutamanya komuniti KDM.
Daniel turut menegaskan tindakan ini selaras dengan hak dan status khas masyarakat Anak Negeri Sabah, diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia melalui Perkara 161A, yang memberikan pengiktirafan kepada adat dan keistimewaan masyarakat peribumi Sabah.
“Surat saman akan dihantar kepada Fahmi Reza dalam masa terdekat, dan kami berharap tindakan ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak agar menghormati pemimpin dan adat masyarakat Sabah,” katanya.
Tindakan diambil oleh MAN Keningau ini dilihat sebagai usaha penting untuk mempertahankan kehormatan pemimpin negeri dan memelihara nilai-nilai adat istiadat masyarakat Sabah yang sudah lama diwarisi.