GAZA: Israel dan kumpulan Hamas mencapai persefahaman dalam perjanjian gencatan senjata, selepas lebih lebih 15 bulan konflik yang membawa kemusnahan besar kepada Gaza.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, menyatakan gencatan senjata akan berkuat kuasa pada Ahad.
Bagaimanapun, usaha menjayakan perjanjian antara Israel dan Hamas masih diteruskan.
Israel pula menyatakan beberapa perincian terakhir sedang dimuktamadkan.
Sejak perang bermula pada Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 46,000 rakyat Palestin di Gaza.
Memetik BH Online, berikut adalah fakta mengenai kandungan perjanjian yang terbahagi kepada tiga fasa:
1. Fasa pertama perjanjian ini akan berlangsung selama enam minggu dan membabitkan pertukaran tahanan secara terhad, dengan penarikan sebahagian tentera Israel dari Gaza, serta peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Seramai 33 tahanan Israel, termasuk tiga wanita, kanak-kanak, dan warga awam berusia lebih 50 tahun yang ditawan dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, akan dibebaskan.
Sebagai balasan, Israel akan melepaskan lebih ramai tahanan Palestin, termasuk mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, dan sekitar 1,000 tahanan yang ditahan selepas 7 Oktober.
Pasukan Israel akan berundur dari pusat populasi di Gaza ke kawasan tidak lebih 700 meter dari sempadan Israel-Gaza. Bagaimanapun, kawasan Koridor Netzarim yang memotong Jalur Gaza mungkin dikecualikan, dengan penarikan dirancang secara berperingkat.
Israel juga akan membenarkan penduduk awam kembali ke kediaman mereka di utara Gaza, yang mana agensi bantuan memberi amaran mengenai ancaman kebuluran.
Hingga 600 trak bantuan akan dibenarkan memasuki Gaza setiap hari, bersama dengan pemindahan rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di luar Gaza dan pembukaan lintasan Rafah dengan Mesir dalam masa tujuh hari selepas pelaksanaan fasa pertama.
Tentera Israel akan mengurangkan kehadiran mereka di Koridor Philadelphi, kawasan sempadan antara Mesir dan Gaza, sebelum menarik diri sepenuhnya tidak lewat daripada hari ke-50 selepas perjanjian berkuat kuasa.
2. Manakala, butiran fasa kedua masih dirundingkan sepanjang tempoh enam minggu pertama ini. Presiden AS Joe Biden memberi jaminan bahawa gencatan senjata akan diteruskan walaupun rundingan untuk fasa kedua melangkaui tempoh ditetapkan.
Fasa kedua akan menyaksikan Hamas membebaskan semua tahanan yang masih hidup, kebanyakannya tentera lelaki, sebagai pertukaran dengan pembebasan lebih ramai tahanan Palestin.
Israel dijangka memulakan penarikan sepenuhnya dari Gaza jika syarat-syarat itu dipenuhi.
3. Dan butiran bagi fasa ketiga masih dibincangkan selepas fasa kedua selesai.
Dipersetujui akan membabitkan penyerahan mayat tahanan yang masih ada sebagai pertukaran untuk pelan pembinaan semula Gaza selama tiga hingga lima tahun di bawah pengawasan antarabangsa.”
Persoalan siapa yang akan menguruskan Gaza selepas gencatan senjata kekal menjadi tanda tanya. Amerika Syarikat mengusulkan agar Pihak Berkuasa Palestin, bersama “rakan antarabangsa,” membentuk sebuah pentadbiran sementara untuk mentadbir Gaza dan menyelia perkhidmatan asas.
Negara-negara Arab, termasuk Arab Saudi, menyatakan sokongan terhadap rancangan ini hanya jika terdapat laluan jelas ke arah pembentukan negara Palestin, yang masih menjadi isu kontroversi di kalangan pembuat dasar Israel.
Israel masih belum mencadangkan alternatif untuk pentadbiran Gaza.