PITAS: Dianggarkan kehidupan seramai 10,000 orang penduduk di sini terjejas akibat air banjir yang mula naik sejak petang Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas, Asdi @ Mohd Faizal Hussin dalam kenyataan pada malam Jumaat berkata empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk satu PPS ‘ad hoc’ telah dibuka.
“PPS Dewan Kusilad dibuka pada jam 9 malam Jumaat dan kini masih dalam proses mendaftar.
“PPS Dewan SK Pekan II dibuka pada jam 2.42 petang Jumaat dengan jumlah keseluruhan 38 Ketua Isi Rumah (KIR).
“PPS SK Salimpodon Darat, Bengkoka juga dibuka pada jam 2.42 petang Jumaat dengan 21 KIR.
“PPS Ad hoc Balairaya Kg Lugu yang dibuka pada jam 9 malam menempatkan 21 KIR,” katanya.
Jelasnya, anggaran mangsa melibatkan kampung terkurung, kampung terjejas manakala 16 jalan perhubungan kampung di Bengkoka dan Pitas tidak boleh dilalui.
Pejabat Pendidikan Daerah Pitas turut mengesahkan dua buah sekolah terkesan iaitu SK Nibang dan SK Pandai Mandamai.
“Bagi meningkatkan kesedaran serta langkah keselamatan mengadapi banjir, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah Pitas telah menyebarluaskan maklumat terkini melalui media sosial kepada ahli-ahli Komuniti Madani dan masyarakat secara umum.
“Masyarakat Pitas dinasihatkan agar sentiasa peka dan berwaspada terhadap keadaan semasa.
“Sekiranya perlu dipindahkan maka arahan pemindahan perlu dipatuhi. Selain itu, masyarakat juga perlu memantau anak-anak agar tidak bermain air ketika muslim banjir serta memastikan dokumen-dokumen penting dibawa bersama semasa berpindah ke PPS,” Asdi berkata.