Advertisement

Isu Peribadi Berlarutan, Lelaki Libas Rakan Guna Parang Ditahan Polis – Sabah News

Foto: Ihsan PDRM Tawau

TAWAU: Seorang lelaki ditahan pada Rabu lalu selepas dipercayai melibas parang ke arah rakannya dalam satu kejadian di sebuah kawasan perumahan pekerja ladang di Merotai Besar baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada 10 Januari lalu sekitar jam 7.00 petang, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dikatakan sedang berbincang dengan suspek akibat isu peribadi yang berlarutan sebelum keadaan menjadi tegang sehingga suspek bertindak agresif.

“Dalam keadaan marah, suspek mengambil sebilah parang dari rumah dan melibas ke arah mangsa. Akibat daripada kesan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian lengan tangan kiri.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek di lokasi berhampiran kira-kira jam 12.15 tengahari tadi. Sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut juga turut dirampas.

“Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya, dalam satu kenyataan.

Menurut ACP Jasmin, semakan rekod lampau mendapati, suspek warga tempatan berusia 47 tahun memiliki satu rekod jenayah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tambahnya, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak mengambil tindakan melulu yang boleh mengancam keselamatan orang lain.

Mereka yang menghadapi konflik digalakkan mencari jalan penyelesaian secara aman atau mendapatkan bantuan pihak berkuasa jika perlu.