Advertisement

Lelaki Cedera Parah Akibat Tersepit Selepas Kereta Dipandu Terbabas Sendiri – Sabah News





TAWAU: Seorang lelaki mengalami cedera parah akibat tersepit selepas Proton Gen 2 yang dipandunya terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kejadian kemalangan di Jalan Mawar Kampung Jawa awal pagi tadi.

Manakala tiga lagi mangsa, iaitu semua perempuan dewasa turut alami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam sebelum Pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.47 pagi.

“Terdapat empat mangsa terlibat yang mana seorang lelaki, iaitu pemandu kenderaan, tersepit di tempat duduk dan berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas. 

“Tiga mangsa lagi telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Bomba dan seterusnya dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS Bomba dan Ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.23 pagi.