KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini, disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat yang mendapatkan projek pembekalan dengan jabatan tempat beliau bertugas.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan sekitar jam 2.30 petang semalam di Pejabat SPRM Kota Kinabalu selepas hadir memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati, perbuatan rasuah ini dipercayai berlaku pada awal tahun 2024 dan melibatkan permintaan rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliannya.
Suspek turut disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta, dan bayaran untuk pembelian motosikal.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Semua barangan yang diterima suspek turut disita dan dirampas.
Suspek dijangka dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangan diambil.