Advertisement

Polis Marin Sabah Rampas Makanan Sejuk Beku Bernilai Lebih RM500,000 di Inanam – Sabah News

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya melakukan dua tangkapan berasingan di Kg Kionsom, Inanam, yang membawa kepada rampasan barangan bernilai keseluruhan RM507,273 pada Isnin lalu (20 Januari).

Dalam tangkapan pertama, tiga lelaki tempatan berumur 19 hingga 50 tahun ditahan bersama sebuah lori dan sebuah van. 

Pemeriksaan mendapati lori jenis Hino membawa 281 kotak ayam sejuk beku, manakala ‘cool room’ di lokasi mengandungi ayam yang disyaki tamat tempoh. 

Selain itu, van yang turut disita dipercayai digunakan untuk membungkus semula produk tersebut. Nilai rampasan dianggarkan RM322,955.

Tangkapan kedua melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun bersama lori yang membawa 200 kotak ikan bahulu.

Pemeriksaan lanjut ke atas ‘cool room’ di belakang lori menemui pelbagai produk sejuk beku seperti ayam, sotong, dan burger dengan nilai keseluruhan rampasan RM184,317.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Enakmen Haiwan 2015 (Seksyen 15 (1)) kerana memiliki hasil haiwan tanpa lesen dan mengimport makanan tanpa kebenaran.

Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, P/ACP Mohd Nazri Ibrahim dalam sebuah kenyataan hari ini mengesahkan laporan polis telah dibuat untuk kes tersebut.