Advertisement

Maritim Tahan Vesel Pukat Jerut Bilis Kerana Langgar Syarat Lesen Di Lahad Datu – Sabah News

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah menahan sebuah vesel pukat jerut bilis di perairan Kunak, selasa lepas.

Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, vesel pukat jerut bilis terbabit ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika Timur Laut Kunak Tiga kira-kira pukul 1.30 tengahari, oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia menerusi OP PLUTO TIMUR 2/2013.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel pukat jerut bilis dikendalikan dua warga tempatan berumur 19 tahun dan 44 tahun serta seorang warga Filipina, 53 tahun, bersama hasil tangkapan seberat lima kilogram.

“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, vesel tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan terhampir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kesemua kru, bot dan hasil perikanan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.